SANDAKAN : Penyelidik Perhutanan Sabah, Dr. Arthur Y.C. Chung telah menerima Anugerah Sains dan Teknologi 2023 oleh Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau merupakan antara dua penerima yang terpilih bagi anugerah berprestij tersebut.
Penganugerahan itu diberikan sebagai mengiktiraf pencapaian dan sumbangan beliau kepada bidang sains dan teknologi negara melalui penyelidikan dalam entomologi hutan tropika yang menumpukan kepada kepelbagaian serangga, serangga dalam pelancongan dan pengurusan serangga hutan perosak.
Beliau telah menerima cek bernilai RM30,000 dan sijil pencapaian daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Hadir sama dalam majlis itu adalah Duta Jepun ke Malaysia Shigeki Taniguchi, Pengerusi MTSF Emeritus Prof Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Emeritus Prof Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock dan Ketua Konservator Perhutanan Sabah Datuk Frederick Kugan.
Dalam ucapan penghargaannya, Dr. Arthur mengiktiraf Pusat Penyelidikan Perhutanan kerana memberinya peluang untuk menjalankan penyelidikan dan aktiviti entomologi di seluruh negeri.
Katanya, ia merupakan pengalaman yang indah selama 30 tahun dapat bekerjasama dengan kakitangan dan rakan sekerja yang banyak menyokong.
Beliau juga berterima kasih kepada Datuk Frederick dan Timbalan Ketua Konservator (R&D) Dr. Robert Ong serta mantan orang atasannya terdahulu di atas sokongan berterusan, nasihat dan galakan yang membolehkannya menerima pengiktirafan itu.
MTSF bermula daripada Yayasan Toray Jepun dan dibiayai secara langsung oleh Torey Science Foundation Jepun untuk mempromosikan sains dan teknologi sejak 1993.