SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali perlu berhenti bermain politik untuk menjatuhkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah sebaliknya fokus kepada tugas sebagai Menteri untuk membantu rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, Armizan perlu memberikan fokus utama kerajaan membantu rakyat sekali gus berusaha membantu menyelesaikan pemulihan ekonomi negara.
“Armizan sebagai menteri perlu berhenti bermain politik berbaur ancaman dan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persengketaan antara pemimpin politik yang sama-sama menyokong kerajaan perpaduan.
“Perdana Menteri telah beri peringatan kepada menteri dibawa kerajaan pentadbirannya untuk fokus kepada kerja dan berhenti main politik”, katanya.
Suhaimi merupakan Ahli Parlimen Libaran berkata, Armizan sepatutnya membantu selesaikan masalah rakyat Sabah termasuk isu tiket penerbangan mahal dari Kuala Lumpur ke Sabah sehingga membebankan rakyat balik menyambut Aidilfitri.
“Sebagai Menteri yang datang dari Sabah, dia sewajarnya menyelesaikan masalah isu tiket mahal dihadapi rakyat Sabah ini. Armizan jangan lupa sejarah dan fakta berhubung pembentukan kerajaan negeri Sabah selepas Pilihan Raya Negeri tahun 2020.
“Tanpa sokongan Bung Moktar selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah membentuk kerajaan negeri, tidak akan berlaku Datuk Seri Hajiji Noor akan menjadi Ketua Menteri.
“Armizan mengatakan Bung tidak relevan adalah satu kesilapan kerana perlu diketahui, Bung merupakan seorang pemimpin yang kini mengemudi UMNO di Sabah yang merupakan sebuah parti besar dan mempunyai sejarah memerintah negara ini.
“Bung adalah pemimpin yang diterima oleh semua lapisan masyarakat. Dalam pemilihan UMNO, Bung juga diterima baik oleh ahli-ahli UMNO diseluruh negara termasuk negeri Sabah dengan memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah”, katanya.
Beliau berkata UMNO hari ini semakin relevan dengan menampilkan gabungan pemimpin lama serta muda selepas pemilihan lepas dan akan terus menyantuni rakyat seluruhnya tanpa mengira kaum.
Suhaimi mencabar Armizan sebagai penyokong tegar Hajiji agar mengistihar pendirian menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah tanpa berlindung di Gerakan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Ahli Parlimen tanpa sebarang parti kerana GRS bukanlah sebuah parti politik.