TAWAU: Polis memahami seorang lelaki selepas dipercayai cuba menyorokkan syabu dalam seluar di kawasan Jalan Bandar Fajar di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 47 tahun itu ditahan selepas sepasukan polis melihatnya berada dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah (BIT) di kawasan bandar Fajar.
Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui satu paket lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu di dalam poket seluar yang dipakai suspek.
“Syabu berkenaan dijumpai dalam poket bahagian hadapan sebelah kanan seluar jeans dipakai suspek.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Polis Daerah Tawau juga akan mempergiatkan pemeriksaan dan memantau keselamatan khususnya di tempat tumpuan ramai menjelang musim perayaan ini untuk mencegah jenayah.
Jasmin berkata, masyarakat juga dinasihatkan agar tidak cuai dan sentiasa menitikberatkan soal keselamatan diri dan juga harta benda masing-masing.