TAWAU: Polis menahan lima lelaki selepas dipercayai cuba mencuri lapan guni kayu arang di kawasan kilang di Tanjung Batu Laut Logpond, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal mendapati empat lelaki itu dipercayai tidak memiliki dokumentasi pengenalan diri, dipercayai warga asing fan berumur diantara 38 hingga 69 tahun.
Katanya, kesemua suspek tersebut cuba melarikan diri selepas menyedari kegiatan mereka diketahui oleh pengawal keselamatan kilang terbabit.
“Suspek cuba untuk melarikan diri namun gagal apabila mereka ditahan oleh pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan kilang berkenaan
“Bertindak atas maklumat dan aduan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Tawau membuat tangkapan terhadap lima orang suspek lelaki di kawasan kilang tersebut kerana dipercayai terlibat dalam kejadian curi,” katanya di sini hari ini.
Jasmin berkata, polis turut merampas sebuah van yang digunakan dalam kegiatan tersebut bersama lapan karung guni kayu arang yang telah dicuri.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 381 kanun keseksaan.