Anwar tiba di Sabah untuk lawatan kerja sehari

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu hari ini bagi mengadakan lawatan kerja sehari ke Sabah.

Pesawat khas yang membawa beliau mendarat  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada kira-kira jam 11.22 pagi.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Mohd Razali Wahab.

Sepanjang lawatan itu, Anwar dijadual menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026, Mini Konvensyen KEADILAN serta Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) peringkat negeri Sabah.

Beliau turut dijadual meninjau Bazar Ramadan di kawasan Universiti Apartment (UA), Sepanggar sebelum menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada lewat petang.