TAWAU: Keluarga mangsa kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas, Tawau diusahakan untuk dipindahkan ke unit kediaman baharu sebelum sambutan Aidilfitri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihaknya sedang mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi menempatkan keluarga berkenaan di unit PPR lain sekiranya terdapat kekosongan.
Menurutnya, permohonan akan dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta bahagian kebajikan sosial bagi memastikan keluarga terbabit dapat ditempatkan di unit yang lebih sesuai.
Nizam berkata demikian ketika menziarahi mangsa kebakaran di PPR Taman Sri Apas di Tawau.
Beliau berkata kebakaran yang berlaku pada 11 Mac lalu hanya melibatkan sebuah unit rumah di kawasan perumahan tersebut yang mempunyai hampir 1,000 unit kediaman.
Mangsa dikenali sebagai Karmilla, seorang ibu tunggal yang kini menjaga tiga orang cucunya dan buat sementara waktu menumpang di rumah jiran.
