Anwar mahu projek perumahan tentera di Sandakan disegerakan

SANDAKAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek pembinaan perumahan Angkatan Tentera dengan peruntukan RM190 juta di Batu 10 di sini, disegerakan.

Perdana Menteri berkata, isu berkaitan masalah tanah bagi projek berkenaan akan cuba diselesaikan dengan kerjasama kerajaan negeri yang berkuasa dalam hal ehwal pentadbiran tanah.

“Saya minta laporan kemajuannya (projek) dalam tempoh dua minggu, mungkin dalam mesyuarat (Kabinet) akan datang dan Panglima Angkatan Tentera memberi laporan, saya nak tahu supaya dipercepat,” katanya.

Anwar berkata demikian pada majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Dewan Azim, Taman Samudera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, kerajaan meluluskan pembinaan jeti baharu di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) bernilai RM122 juta, tahun ini.

Beliau berkata, kedua-dua projek itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara.