Anwar Arah Siasat Larangan Perjalanan Fahmi Reza

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi penjelasan dan menyemak tindakan melarang aktivis seni Fahmi Reza daripada meninggalkan negara.

Menurut kenyataan ringkas Pejabat Perdana Menteri hari ini, isu itu menimbulkan persoalan serius tentang kebebasan individu di bawah kerajaan Madani.

“Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap saudara Fahmi Reza.

“Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.

Arahan itu menyusul selepas Fahmi mendakwa dia disekat daripada ke luar negara ketika ingin menaiki penerbangan ke Singapura semalam. Menurutnya, pegawai imigresen memaklumkan bahawa larangan itu datang dari Bukit Aman, namun tiada sebab rasmi diberikan.

Dalam hantaran di Facebook semalam memaparkan gambarnya bersama beg di KLIA2 — Fahmi meluahkan rasa tidak puas hati apabila disekat semata-mata kerana kerja seninya yang mengkritik kerajaan.

“Apa kesalahan aku? Hanya polis Bukit Aman dan kerajaan Madani yang boleh jawab,” tulisnya.

“Oleh itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa pejabat perdana menteri akan terus memantau isu berkenaan.