LABUAN: Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Tan Sri Anifah Aman dianugerahkan Pangkat Kehormat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba pada Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini, semalam.
Majlis pemakaian tanda pangkat Kehormat itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin.

Selain menerima pangkat Kehormat Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, beliau turut menerima tongkat kuasa dan sijil pangkat kehormat.
Penganugerahan pangkat (kehormat) terkandung dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Pindaan) di bawah Seksyen 7A sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan JBPM kepada mana-mana individu selain pegawai Bomba yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta mencurahkan khidmat bakti khususnya dalam hal kebombaan dan penyelamatan.
Hadir sama, menyaksikan majlis penganugerahan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang juga Penolong Pesuruhjaya Kehormat JBPM Rithuan Mohd Ismail dan Pengarah JBPM Labuan Abd. Rahman Ali.