SANDAKAN: Tindakan alternatif perlu disusun atur susulan cadangan menubuhkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di daerah ini tidak diluluskan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, baru-baru ini beliau bersama Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim dan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee telah mengadakan lawatan pemeriksaan di Menara MPS di sini, yang dicadangkan sebagai lokasi bagi UTC Sandakan.
Katanya, lawatan tersebut adalah untuk menilai status bangunan selain menangani keperluan mendesak penduduk Sandakan berkaitan penubuhan UTC.
“Dalam lawatan itu, Steven menyatakan kerajaan telah menangguhkan pembinaan UTC baharu. Terdapat kelulusan bagi UTC di Menara MPS pada 2019, bagaimanapun ketika sidang Kamar Khas Parlimen pada Mei lepas, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi maklum balas kepada Vivian yang ketika ini terdapat 3 UTC di Sabah, iaitu maksimum yang dibenarkan untuk setiap negeri.
“Susulan itu, Kementerian Kewangan tidak dapat meluluskan tambahan UTC di Sandakan berikutan kekangan tenaga kerja dan kewangan. Bagaimanapun, beliau (Ahmad Maslan) mencadangkan agar perbincangan diadakan bersama Ketua Menteri Sabah sekiranya terdapat kemungkinan membina UTC yang dikendalikan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Selaras dengan itu, Frankie telah terlibat secara aktif bersama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan menara tersebut termasuk dari aspek kebersihan, penyelenggaraan lif, kemudahan keseluruhan dan kemerosotan lot kedai.
Beliau turut mencadangkan kepada MPS agar mengambil usahawan muda dengan tawaran menarik untuk mereka dapat berniaga di menara itu.
Jelasnya, ia merupakan antara usaha yang boleh membantu dalam meremajakan semula Menara MPS sekaligus merancakkan lagi kawasan itu.
“Dalam lawatan ini, Pegawai MPS juga memberitahu mereka sedang giat melakukan pembersihan dan persiapan di setiap tingkat di Menara MPS. Menara itu sedia menempatkan pejabat jabatan kerajaan termasuk Jabatan Kutipan MPS.
“MPS bercadang untuk menjemput jabatan kerajaan lain untuk membuka pejabat mereka di menara itu, seperti mewujudkan pusat sehenti yang sama seperti konsep UTC untuk manfaat orang awam,” jelasnya.
Mengambil kira dengan perkembangan itu, Frankie bercadang untuk menjemput beberapa jabatan kerajaan persekutuan untuk membuka pejabat di Menara MPS.
Beliau mencadangkan agar jabatan utama yang sering sesak seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, jabatan Imigresen dan jabatan berkaitan, mempertimbang untuk membuka pejabat operasi di Menara MPS.
Jelasnya, ia bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan di pejabat jabatan kerajaan di Batu 7, tetapi dalam masa sama dapat merancakkan aktiviti di bandar sekaligus menyumbang kepada pendapatan MPS.
Beliau percaya inisiatif itu bukan hanya memenuhi keperluan rakyat tetapi juga meremajakan semula Menara MPS dan sekitar kawasan bandar.