Anak muda DUN Darau perlu proaktif, bertanggungjawab – Mohd Razali

KOTA KINABALU : Belia mempunyai tanggungjawab besar terhadap masyarakat dan negara, khususnya dalam konteks kesejahteraan rakyat dan pembinaan negara bangsa.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau Datuk Mohd Razali Razi berkata, orang muda zaman ini mempunyai impian dan cita-cita tersendiri sekali gus sentiasa mendampingi mereka selain mendengar dengan teliti suara hati serta pandangan yang hendak disampaikan.

Katanya, masyarakat perlu membuka seluas-luasnya ruang dan peluang supaya anak muda berani tampil ke hadapan bagi menzahirkan impian dan harapan mereka demi masa depan negara yang lebih baik.

“Tidak dapat dinafikan, masa depan negara ini bergantung kepada daya tahan dan jati diri belia yang ada pada hari ini.

“Apa saja perancangan yang dibuat sekarang perlu mengambil kira keperluan dan kehendak golongan muda yang akan merasai hasil dan kesan perancangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bersama belia Kampung Kalansanan serta Kampung Warisan dalam Program Camping Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau di sini semalam.

Mohd Razali berkata, belia perlu diberikan peluang mengemukakan idea dan pandangan untuk menyampaikan aspirasi anak muda Sabah ke arah pembangunan negara secara umum.

“Kita mahu melalui program seperti hari ini anak muda khususnya di DUN Darau sangat peka dan prihatin dengan apa yang berlaku di Sabah.

“Mereka juga bersedia memberikan pandangan dan idea untuk sama-sama membangunkan rakyat dan negeri Sabah,” jelas Mohd Razi.

Mengulas mengenai program ini beliau berkata, program merupakan siri dua ini memberi pendedahan kepada golongan muda mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat dan negara.

“Kita melihat mereka sangat seronok dan gembira berkumpul dengan rakan-rakan baharu mereka sambil bersama-sama membantu kerajaan negeri dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Kita akan merancang untuk mengadakan siri ketiga bagi memantapkan lagi peranan belia sekali gus mampu melahirkan golongan muda menyumbang kepada bangsa dan negara,” kata Mohd Razali.

Turut hadir, Presiden Majlis Belia Sabah Abqaree Fawwaz Abekan.