TAWAU: Alumni merupakan agen paling berkesan dalam merealisasikan implikasi kesan kewujudan universiti menerusi penyaluran ilmu kepada masyarakat.
Hal ini adalah kerana alumni yang telah pun menimba ilmu dari menara ilmu itu adalah sebahagian daripada ahlli komuniti yang lebih memahami keadaan dan keperluan sebenar masyarakat setempat.
Sekembalinya mereka kepada masyarakat, maka peranan mereka sebagai agen perubahan masyarakat amatlah relevan.
Justeru itu, UMS menerusi peranan Pusat Alumni UMS telah mengadakan program Temu Santai Alumni UMS Chapter Tawau bertempat di LA Hotel.
Untuk rekod terdapat seramai 863 orang alumni UMS yang berasal dari daerah Tawau.
“Berdasarkan kepada jumlah ini, tidak mustahil untuk UMS bersama-sama dengan para alumninya mengadakan program khidmat masyarakat yang lebih berimpak tinggi di masa hadapan,” Professor Dr. Shahril Yusof, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.
Beliau berkata demikian, sewaktu menyampaikan ucapan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.
Aktiviti bersama masyarakat adalah sebahagian daripada agenda utama UMS di bawah kepimpinan Naib Canselornya.
Menerusi gabungan kepakaran dari UMS dan kearifan serta kedudukan alumni, maka lebih banyak program yang menyumbang kepada kemajuan sosio-ekonomi masyarakat akan dapat diadakan.
Sebahagian besar dari para alumni yang sempat hadir adalah dalam kalangan alumni yang terawal.
Turut hadir Idham Hussin, Presiden MPP UMS yang pertama bersama beberapa orang dari batch yang terawal.
Temu Santai Alumni UMS dari Tawau ini juga berjaya mengumpulkan beberapa orang alumni yang memiliki ijazah sarjana dan kedoktoran dari UMS.
Shahril berkata bahawa beliau akan meminta Pusat Alumni UMS untuk menyediakan kertas kerja berkaitan dengan cadangan pemberian diskaun kepada alumni UMS yang ingin melanjutkan pengajian ke program ijazah lanjutan.
Selain itu, cadangan penggunaan kad alumni UMS akan diperkenalkan dalam sedikit waktu lagi bagi memberi potongan harga diskaun kepada alumni UMS yang membeli atau menggunakan perkhidmatan yang bakal ditawarkan oleh rakan-rakan strategik terlibat kelak.
Selain itu, bagi meningkatkan rasa kecintaan kepada alma mater, UMS berhasrat untuk mengadakan program Kem Musim Panas dalam kampus UMS kepada anak-anak atau ahli keluarga alumni.
Selain aktiviti-aktiviti bebentuk perkhemahan, sesi-sesi pembelajaran dalam bilik atau dewan kuliah juga diselitkan dalam kem musim panas ini.
Inisiatif ini mampu meningkatkan semangat untuk lebih rajin belajar dan seterusnya berjaya memasuki universiti dalam kalangan anak-anak alumni yang masih bersekolah.
Beberapa orang alumni turut berkongsi pengalaman mereka dalam majlis tersebut.
Rata-rata menyatakan bahawa selain ilmu yang dipelajari, mereka juga sangat terkesan dengan karakter dan gaya setiap pensyarah yang mengajar mereka.
Inilah sebahagian dari kenangan yang sentiasa memutik kembali kecintaan kepada universiti khasnya UMS.