KOTA KINABALU: Dakwaan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengenai ‘Tidak diberi peranan’ antara punca meninggalkan BERSATU merupakan suatu tuduhan tidak berasas.
Ketua BERSATU Bahagian Lahad Datu, Abdul Hakim Gulam Hassan, berkata pertama beliau (Mohamaddin) mendakwa tidak diberikan peranan untuk memperkukuhkan parti adalah tidak tepat.
“Sejujurnya saya juga kurang jelas mengenai apakah peranan bagaimana yang beliau dimaksudkan.
“Ini kerana selaku Ahli Parlimen dan juga sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau sudah tentu tahu apa peranan beliau sebagai wakil rakyat. Ini adalah tugas hakikinya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hari ini.
Abdul Hakim berkata, setakat ini pengumuman tersebut tidak menjejaskan BERSATU Bahagian Lahad Datu.
“Setakat ini parti tetap utuh kerana dahulu beliau menyertai BERSATU pun seorang diri dan kini keluar semula juga seorang diri.
“Sebenarnya yang masuk BERSATU pada November lalu hanyalah beliau (Mohamaddin) secara sendirian.
“Dia seorang saja yang masuk BERSATU, manakala penyokong beliau yang memberi kemenangan pada PRU dan PRN lalu masih lagi dalam parti asal mereka, iaitu WARISAN,” katanya.
Menurutnya, sebahagian dari mereka masih memegang jawatan dalam parti tersebut sekali gus adalah tidak logik beliau diketepikan dari BERSATU.
“Kita umum mengetahui penyokongnya masih dalam parti lamanya dan bukannya berada dalam BERSATU,” katanya.