KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen hari ini menggesa supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH- Lembah Pantai) berkata, ini berikutan kenyataan Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu semalam mengenai Proklamasi Darurat dan pembatalan ordinan pada 21 Julai lalu, jelas mengelirukan dewan.
“(Peraturan mesyuarat) 36(12) berkenaan kenyataan mengelirukan dewan kerana semalam Kota Bharu sudah mengeluarkan kenyataan bukan saja kenyataan mengelirukan dewan, …tapi seluruh rakyat.
“Beliau menyatakan enam ordinan sudah dibatalkan pada 21 Julai. Bila rakan-rakan peguam menyemak warta kerajaan, tidak ada sebarang pemakluman itu atau warta yang dikeluarkan mengumumkan bahawa sejumlah ordinan sudah dibatalkan.
“Jadi perlu penjelasan segera atau Yang Berhormat Kota Bharu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana sudah mengelirukan dewan ini. Saya pohon Yang di-Pertua panggil Kota Bharu ke dewan sekarang untuk beri penjelasan kerana kesanya kepada seluruh rakyat.. (penjelasan) sekarang,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jerlun) pula mendakwa kenyataan Takiyuddin semalam seolah-olah sudah menyalahgunakan perkenan Yang Dipertuan Agong yang membenarkan supaya sidang khas Parlimen diadakan selama lima hari, dengan hari terakhir pada Isnin depan.
“Ini satu tindakan jelas bukan saja mengelirukan rakyat dan Ahli Parlimen di sini, tetapi juga menyalahgunakan nama baik agong dan Kota Bharu dan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yasin) perlu diberikan amaran sekeras-kerasnya dan membenarkan sidang parlimen ini berlangsung dengan undian dipenghujung setiap perbahasan,” katanya.
Terdahulu, Takiyuddin yang mencelah ketika sesi dewan hangat pagi tadi memaklumkan hanya akan memberikan penjelasan mengenai pengumumannya semalam pada Isnin depan, iaitu hari terakhir sidang khas Parlimen, seperti diputuskan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, semalam.
Takiyuddin semalam mengumumkan kerajaan sudah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini, selain memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.