Wanita bersalin atas bot penambang

Kota Kinabalu: Tindakan pantas pasukan polis berjaya menyelamat nyawa seorang wanita bersama bayinya yang baru dilahirkan di atas bot penambang di Jeti Penambang dekat Safma, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, wanita berusia lingkungan 30-an yang tinggal di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, dikatakan terpaksa dibawa menaiki bot selepas mengadu sakit mahu bersalin.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, wanita terbabit tidak dapat menahan dan terus melahirkan anak di atas bot penambang berkenaan. Laporan Portal Harian metro hari ini.

Kehadiran mereka di jeti pasar berkenaan menarik perhatian pasukan polis yang sedang berkawal berikutan kawasan Pulau Gaya diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebaik diperiksa, pasukan polis dimaklumkan mengenai kelahiran itu dan mereka mengangkat wanita dan bayinya ke atas jeti.

Pasukan polis yang diketuai Asisten Superintendan Johri Rubinsin bersama dua anggota polis dan Rela menghubungi talian kecemasan 999 sebelum disambungkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Johri yang memeriksa wanita itu memaklumkan kepada doktor bertugas bahawa keadaannya sudah kelesuan dipercayai akibat kehilangan banyak darah, selain bayi yang masih bersambung dengan uri pada tali pusat.

Doktor kemudian meminta Johri mengikat uri bayi bagi mengelakkan jangkitan kuman sementara menunggu kehadiran ambulans .

Keadaan lebih terkawal selepas ketibaan pasukan paramedik HQE I yang kemudiannya memberikan rawatan awal sebelum membawa wanita terbabit bersama anaknya ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, wanita terbabit kini berada dalam keadaan selamat di HQEI bersama bayi perempuannya.

Katanya, IPD Kota Kinabalu juga ingin menjadikan bayi itu sebagai anak angkat.

“IPD Kota Kinabalu juga merancang untuk melawatnya di hospital namun tertakluk kepada kebenaran pihak HQEI,” katanya.