KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh dan profesional mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Menurut beliau, siasatan yang telus diperlukan bagi menentukan sama ada kes tersebut melibatkan unsur jenayah atau sebaliknya.
“Saya juga meminta pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan melakukan siasatan serta menyediakan laporan dari segi pematuhan SOP kerja, disiplin, dan keselamatan di sekolah serta asrama,” katanya.
Dr Yusof menegaskan beliau tidak membuat sebarang andaian atau tuduhan terhadap mana-mana individu atau pihak.
Namun, katanya, setelah dua minggu berlalu tanpa perkembangan atau keputusan siasatan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan warganet mula bersuara.
“Sekarang NGO dan pelbagai kumpulan akan terus melaungkan ‘Justice for Zara’ sehingga pihak berkuasa memberi jawapan. Malah, tuntutan itu akan berterusan sehingga pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.
Kes kematian Zara Qairina menjadi perhatian ramai di media sosial selepas timbul pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan penglibatan anak individu berpengaruh, yang sehingga kini belum disahkan oleh pihak berkuasa.
Pada Sabtu lepas, Polis menggali semula kubur Zara Qairina bagi melengkapkan proses siasatan menerusi bedah siasat.
