KOTA KINABALU: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, esok.
Acryl Sani yang kini Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menerima darjah kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Seorang lagi penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah itu ialah Presiden Persekutuan Persatuan Alumni Universiti-Universiti Taiwan Malaysia, Datuk Dr Tang Yong Chew.
Sementara itu, seramai 88 orang individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Antara penerimanya ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Penerima lain ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe.
Selebihnya ialah ADUN Tandek, Hendrus Anding; ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum; ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat; ADUN Kunak, Norazlinah Arif; ADUN Labuk, Samad Jambri (Labuk); ADUN Karamunting, George Hiew Vun Zin dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.
Turut menerima PGDK ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Asits Sanna; Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Che Engku Suhaimi Che Engku Daik; dan Panglima Armada Timur, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.
Selain itu, Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Effendi Mohd Sunoh; Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Ceasar Mandela Malakun; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Senior Asistan Komisioner Habibi Majinji dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin.
Ketua Pengarang Utusan Borneo, Lichong Angkui turut menerima PGDK.
Penerima lain antaranya ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC), Jamawi Jaafar; Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Kenny Chua Teck Ho dan Pengarah Tabung Haji Sabah, Datin Nurlaila Said.
Tidak ketinggalan, penyanyi popular Kadazandusun, Francis Landong.
Selain dua penerima SPDK dan 88 PGDK, selebihnya ialah lapan orang penerima Jaksa Pendamai (JP), diikuti Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) (118), Ahli Darjah Kinabalu (ADK) (228), Bintang Setia Kinabalu (BSK) (281), Bintang Kinabalu (BK) (310) dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) (174).
Secara keseluruhan, seramai 1,209 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Tun Juhar, esok.