Kesesakan pelabuhan sehingga 4 kilometer bukti kegagalan sistemik, kata Chin

KOTA KINABALU: Kesesakan yang berlaku di Pelabuhan Sepanggar sehingga menyebabkan barisan kenderaan mencecah empat kilometer disifatkan sebagai petanda jelas wujudnya kelemahan sistemik dalam pengurusan dan perancangan infrastruktur pelabuhan di Sabah.

ADUN Kapayan, Chin Tek Ming berkata, isu tersebut tidak boleh lagi dianggap sebagai masalah operasi sementara kerana kesannya kini melibatkan ekonomi negeri, sektor perdagangan, komuniti perniagaan dan rakyat secara keseluruhan.

Menurut beliau, peningkatan aktiviti perdagangan sejak beberapa tahun lalu sepatutnya disertai dengan pembangunan kapasiti pelabuhan yang mencukupi bagi mengelakkan berlakunya kesesakan serius seperti yang berlaku ketika ini.

“Pemain industri telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai kapasiti operasi dan risiko kesesakan, namun persoalannya mengapa tindakan lebih awal tidak diambil sebelum keadaan menjadi semakin kritikal.

“Kita mahu penjelasan yang jelas mengenai punca sebenar krisis ini, pihak yang bertanggungjawab serta pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang yang akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan agensi berkaitan perlu tampil secara terbuka menjelaskan perkembangan semasa termasuk langkah pemulihan yang sedang dilaksanakan bagi memulihkan keyakinan komuniti perniagaan dan pelabur.

Chin turut mencadangkan supaya satu sesi taklimat awam melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pengendali pelabuhan, syarikat logistik, dewan perniagaan dan agensi kerajaan diadakan bagi membolehkan maklumat disampaikan secara telus kepada rakyat.