TAWAU: Portal media dari Sabah Malaysia dan Kalimantan Utara, Indonesia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang media dan komunikasi antara kedua-dua negara.
Kerjasama itu melibatkan Sabah News Today (SNT), Deasoka dan Dakwat Rakyat bersama portal media Indonesia, Satukaltara.com dalam satu majlis yang berlangsung di Konsulat Republik Indonesia di Tawau pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah News Today (SNT), Zakaria Damit berkata, pemeteraian MoU tersebut bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi lambang hubungan erat antara dua negara serumpun yang berkongsi sejarah, budaya dan persahabatan sejak sekian lama.
Menurutnya, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat, membina persefahaman rakyat serta memperkukuh hubungan antarabangsa terutama dalam era digital masa kini.
“Melalui kerjasama ini, kita berharap lebih banyak pertukaran informasi, liputan berita bersama, promosi pelancongan, ekonomi kreatif dan pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan secara bersama antara Sabah dan Kalimantan Utara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau berkata, media bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai berita, malah menjadi jambatan hubungan rakyat kedua-dua negara.
Katanya lagi, kerjasama strategik tersebut juga diharap membuka peluang kepada pengamal media muda untuk berkongsi pengalaman, teknologi dan kepakaran dalam bidang kewartawanan digital dan media kreatif.
