Tham Yun Fook kritik kenyataan James Ratib isu sekolah daif

KOTA KINABALU: ADUN Likas, Tham Yun Fook mengkritik kenyataan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berhubung penggunaan istilah “bangunan daif” dan “sekolah daif”.

Menurut Tham, cubaan membezakan istilah tersebut tidak mengubah keadaan sebenar sekolah di Sabah yang masih berdepan masalah bangunan rosak dan kemudahan tidak selamat.

Beliau berkata, rakyat melihat sendiri keadaan sekolah melibatkan siling runtuh, pendawaian elektrik tidak selamat dan tandas uzur yang boleh mengancam keselamatan pelajar serta guru.

“Apabila bangunan sekolah rosak dan tidak selamat digunakan, ia tetap merupakan isu sekolah daif yang perlu diberi perhatian serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tham berkata kerajaan perlu memberi fokus kepada tindakan segera termasuk mempercepatkan kerja pembaikan dan menaik taraf kemudahan sekolah di Sabah.

Menurutnya, keselamatan pelajar tidak boleh dikompromi hanya kerana mahu mempertahankan imej pentadbiran kerajaan.

“Rakyat mahukan tindakan, bukan alasan,” katanya.