TAWAU: Kerjasama strategik antara syarikat media Sabah dan Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) diyakini mampu memperkukuh hubungan dua wilayah berjiran selain membuka lebih banyak peluang kerjasama rentas sempadan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kolaborasi itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengamal media, malah memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia khususnya Sabah dan Kalimantan Utara.
Menurutnya, kerjasama berkenaan juga mampu menjadi platform penting dalam memastikan penyampaian berita lebih bertanggungjawab, sahih dan beretika.
“Kerjasama ini sudah pasti memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan kawasan terlibat khususnya Tawau dan Kaltara, Sabah dan Kalimantan,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat media Sabah dan media Kaltara di sini semalam.
Turut hadir, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin atas sokongan penuh terhadap penganjuran program berkenaan.
Beliau berkata, persefahaman tersebut juga menjadi komitmen pengamal media untuk terus menjaga etika kewartawanan dan profesionalisme dalam penyampaian maklumat.
