KPPIS bimbang Akta 860 cetus kecelaruan kuasa imigresen Sabah

KOTA KINABALU – Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) yang didakwa boleh mencetuskan pertindihan bidang kuasa serta menjejaskan autonomi imigresen Sabah.

Presidennya, Azizah S Ahmad berkata, situasi itu menyebabkan pegawai imigresen di Sabah berdepan kekeliruan dari segi SOP dan perlindungan undang-undang ketika menjalankan tugas di pintu masuk utama negeri.

Menurut beliau, kuasa autonomi imigresen Sabah telah termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen 1959/63.

“KPPIS mengambil tanggungjawab menyuarakan perkara ini kerana pelaksanaan akta berkenaan boleh memberi kesan langsung kepada anggota di lapangan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak kesatuan telah mengadakan dua siri pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi membincangkan isu tersebut.

Katanya, kerajaan negeri turut menyatakan pendirian mempertahankan autonomi imigresen Sabah dan menolak pelaksanaan AKPS di negeri itu.

Dalam masa sama, KPPIS turut menyerahkan representasi rasmi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berhubung aspek perlindungan keselamatan anggota imigresen Sabah.

Azizah menegaskan, tindakan kesatuan itu bukan bertujuan menentang Jabatan Imigresen Malaysia, sebaliknya demi memastikan anggota dapat menjalankan tugas dalam keadaan jelas, teratur dan dilindungi undang-undang.