Buaya 9.6 kaki ancam pekerja ladang ditembak mati

TAWAU: Seekor buaya sepanjang 9.6 kaki ditembak mati selepas dipercayai sering muncul dan mengganggu keselamatan pekerja di sebuah ladang di Jalan Semporna, di sini, semalam.

Reptilia ganas itu dipercayai berkeliaran berhampiran kawasan kerja pekerja ladang sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Menurut sumber, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau menerima aduan daripada pihak ladang berhubung kehadiran buaya terbabit sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan dan operasi menangkap reptilia itu.

“Hasil tindakan dijalankan, pasukan JHL berjaya mengesan dan menewaskan buaya terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap pekerja di kawasan ladang berkenaan,” katanya.

Katanya, keadaan kawasan ladang yang berhampiran sungai dan kawasan berair dipercayai menjadi habitat reptilia berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya pekerja ladang dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berada berhampiran kawasan sungai, parit atau lokasi berair kerana dikhuatiri masih terdapat buaya lain di habitat terbabit.

“Masyarakat juga diminta segera melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya ternampak kelibat buaya bagi mengelakkan risiko serangan terhadap manusia,” katanya.