Bekas ADUN Silam Dumi Masdal tinggalkan Warisan, sokong GRS

LAHAD DATU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, Dumi Pg Masdal dilaporkan telah meninggalkan Parti Warisan dan menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perkembangan itu didedahkan menerusi hantaran Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Ismail Sabran di Facebook.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut berkongsi gambar memperlihatkan Dumi bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika menghadiri Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, semalam.

Langkah Dumi itu dilihat berpotensi memberi kesan kepada dinamika politik di kawasan Lahad Datu, selain mencerminkan pergerakan sokongan dalam kalangan bekas pemimpin parti pembangkang di Sabah.

Bagaimanapun, belum ada kenyataan rasmi daripada Dumi sendiri mahupun kepimpinan Warisan berhubung perkara itu setakat ini.