KUDAT: Kegiatan penyelewengan barang kawalan menggunakan pumpboat terbongkar apabila seorang lelaki tempatan diberkas Pasukan Polis Marin Wilayah Empat di muara Sungai Kampung Kimihang, di sini, pada 16 April lalu.
Dalam kejadian itu, suspek berusia 45 tahun ditahan ketika berada di dalam sebuah pumpboat berwarna biru tanpa nombor pendaftaran bersama sejumlah barang kawalan tanpa dokumen sah.
Hasil pemeriksaan lanjut menemui tujuh tong drum besi berisi petrol dianggarkan sebanyak 1,400 liter, selain 24 kotak minyak masak paket plastik seberat kira-kira 408 kilogram serta tujuh bandel gula kasar seberat 168 kilogram.
Turut dirampas tiga enjin pumpboat yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penyelewengan berkenaan.
Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM14,876.80.
KPDN dalam kenyataan memaklumkan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak diseleweng serta sampai kepada golongan sasar.
