Gagasan Rakyat Api-Api sokong cadangan susun semula 73 bahagian kepada 25

KOTA KINABALU: Bahagian Api-Api Parti Gagasan Rakyat Sabah menyatakan sokongan terhadap cadangan penstrukturan semula bahagian parti yang dilihat mampu memperkukuhkan organisasi serta meningkatkan kecekapan pentadbiran.

Ketua Bahagiannya, Datuk Faisyal Diego berkata cadangan menyusun semula bahagian daripada 73 kepada 25 bahagian merupakan langkah strategik bagi memperkemas penyelarasan kepimpinan serta memperkukuh struktur parti.

Menurutnya, langkah itu dijangka meningkatkan keberkesanan gerak kerja parti khususnya di peringkat akar umbi.

“Cadangan ini mampu mewujudkan struktur parti yang lebih tersusun, dinamik dan responsif terhadap keperluan rakyat serta cabaran politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api yang diadakan bersama Majlis Berbuka Puasa pada Isnin lalu.

Dalam mesyuarat tersebut, semua Ahli Jawatankuasa Bahagian sebulat suara menyokong cadangan penstrukturan semula tersebut.

Faisyal turut menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan kestabilan politik serta pembangunan negeri terus diperkukuh.