Pemuda Gagasan Rakyat gesa henti manipulasi fakta isu pelajar ditahan

KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat Sabah menggesa semua pihak menghentikan penyebaran naratif mengelirukan berhubung penahanan seorang pelajar tanpa dokumen di negeri ini.

Pemangku ketuanya, Azrul Ibrahim berkata, maklumat sedia ada menunjukkan individu tersebut dianggarkan berusia sekitar 19 tahun, sekali gus menafikan dakwaan bahawa beliau masih kanak-kanak.

Menurutnya, ketiadaan dokumen rasmi turut menjadikan identiti sebenar individu termasuk latar belakang kaum dan kewarganegaraan tidak dapat disahkan.

“Penentuan hanya boleh dibuat melalui proses siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa isu tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.