Rampasan ayam, daging sejuk beku bernilai RM374,010 di Kudat

KUDAT: Produk ayam dan daging sejuk beku bernilai RM374,010.80 dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah rumah di Jalan Pinagsu di sini pada Isnin.

Operasi tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Kudat bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kudat.

Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai dijadikan tempat penyimpanan produk ayam dan daging sejuk beku dalam kuantiti besar.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan tiga unit kemudahan penyimpanan sejuk (cold storage) yang digunakan untuk menyimpan pelbagai jenis kotak ayam dan daging beku.

KKM Daerah Kudat turut menemukan beberapa produk makanan yang telah tamat tempoh, antaranya sejak tahun 2022, 2023, 2025 serta Januari 2026.

Perbuatan itu dipercayai melanggar Peraturan 38(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 serta Peraturan 11 kerana gagal memastikan premis berada dalam keadaan bersih dan selamat.

Semua produk terlibat telah dirampas untuk tindakan lanjut, manakala pihak berkuasa menegaskan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi menjamin keselamatan makanan.