Hajiji terima kunjungan perpisahan Konsul-Jeneral Jepun

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Konsul-Jeneral Jepun bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, Yamashita Yoshito di Menara Kinabalu hari ini.

Kunjungan itu diadakan sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Yamashita pada akhir Mac ini selepas berkhidmat selama dua tahun enam bulan di Sabah.

Beliau diiringi penggantinya, Nakasuji Hisaki.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kerjasama antara Sabah dan Jepun, khususnya dalam bidang pelaburan, pelancongan, ekonomi serta pembangunan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Hajiji turut merakamkan penghargaan atas peranan Yamashita dalam memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama antara Jepun dan Sabah sepanjang tempoh perkhidmatannya di negeri ini.

Beliau berharap hubungan baik antara Sabah dan Jepun akan terus diperkukuh pada masa akan datang.