TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menyuarakan kekecewaan terhadap kerajaan Persekutuan yang didakwanya tidak serius melaksanakan syor daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah (RCI).
Beliau berkata, perkara itu jelas apabila hanya 13 mesyuarat diadakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah (JKPWAS) sejak ia ditubuhkan pada 2014.
Menurutnya, angka tersebut menunjukkan tahap komitmen kerajaan dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu masih rendah.
“Dalam tempoh lebih 10 tahun, mesyuarat hanya diadakan sebanyak 13 kali. Tidak sampai pun purata sekali setahun.
“Ini menunjukkan kerajaan tidak benar-benar serius menangani isu yang sangat kritikal kepada rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Madius berkata demikian susulan jawapan bertulis yang diterimanya daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap soalan bukan lisan yang dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat.
Menurut jawapan itu, RCI mengenai PATI di Sabah ditubuhkan pada 2012 dan laporannya diserahkan kepada kerajaan pada 2014. Susulan itu, JKPWAS ditubuhkan pada 3 Disember 2014 bagi menyelaras pengurusan warga asing di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, Madius mempersoalkan fokus perbincangan mesyuarat jawatankuasa tersebut yang menurutnya lebih tertumpu kepada perkara semasa seperti pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu bagi Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin di Negeri Sabah (SWIMS) serta pemberian moratorium penguatkuasaan.
Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai tahap pelaksanaan syor-syor utama RCI.
“Kalau begitu, apa gunanya RCI ditubuhkan dan laporan tebal disediakan jika syor-syornya tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh?” katanya.
Dalam jawapan bertulis itu juga, KDN memaklumkan mesyuarat JKPWAS ke-13 pada 14 Ogos 2025 antara lain memutuskan lanjutan tempoh Program Pendataan Digital Warga Asing melalui SWIMS sehingga 31 Disember 2028, selain pemberian moratorium kepada pekerja asing yang telah mendaftar dalam sistem tersebut.
Sehingga 31 Disember 2025, seramai 122,228 pekerja asing telah didatakan, dengan 67.3 peratus daripadanya dikenal pasti sebagai pekerja asing tidak sah.
Madius berkata isu PATI di Sabah bukan sekadar melibatkan pengurusan data atau moratorium sementara, sebaliknya berkait rapat dengan soal kedaulatan, keselamatan dan hak perlembagaan rakyat negeri itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen politik yang lebih jelas dengan menetapkan garis masa khusus bagi melaksanakan syor-syor utama RCI.
