Serbuan imigresen Sabah tumpaskan 81 PATI

KOTA KINABALU: Seramai 81 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Belanja di beberapa daerah di negeri ini.

Operasi yang dijalankan di Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu dan Sipitang itu melibatkan pemeriksaan terhadap 202 individu.

Hasil pemeriksaan mendapati 74 warga Filipina, lima warga Indonesia dan dua warga Pakistan ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.

JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan kebanyakan mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

Kesemua individu terbabit telah dihantar ke Depot Imigresen untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

Menurut JIM Sabah, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan tanpa kompromi bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.