TAWAU: Keperluan mewujudkan balai bomba dan penyelamat di kawasan Apas-Balung perlu diberi perhatian serius susulan pertumbuhan pesat pembangunan serta peningkatan jumlah penduduk di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan pembinaan fasiliti itu sebenarnya sudah dalam perancangan sebelum ini dan kini wajar dipercepatkan pelaksanaannya.
Menurut beliau, kedudukan balai sedia ada di pusat bandar Tawau agak jauh untuk memberikan respons pantas sekiranya berlaku kejadian kecemasan, khususnya kebakaran di kawasan Apas dan Balung.
“Dengan pembangunan yang semakin pesat membabitkan kawasan perumahan, premis perniagaan, bangunan kerajaan serta aktiviti ekonomi yang terus berkembang, kewujudan balai bomba di kawasan ini menjadi satu keperluan mendesak.
“Kita berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak kebakaran di Simpang Batu 15 Jalan Apas yang memusnahkan 18 gerai dalam kejadian baru-baru ini.
Mengulas insiden itu, Nizam berkata ketika kejadian berlaku, beliau sedang menunaikan ibadah umrah dan sebaik menerima maklumat, arahan segera diberikan kepada pegawainya termasuk Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas untuk turun membantu mangsa.
Katanya, bantuan disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai Majlis Perbandaran Tawaudengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Bantuan yang disampaikan berupa sumbangan wang tunai serta kurma sempena Ramadan sebagai tanda keprihatinan dan bagi meringankan beban peniaga yang terjejas.
“Kita akan terus memantau dan melihat keperluan bantuan susulan jika perlu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dalam aspek keselamatan, terutama ketika melakukan penyambungan elektrik, pembinaan struktur serta penggunaan peralatan elektrik dan dapur gas.
Menurutnya, setiap struktur yang dibina perlu mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan risiko kebakaran selain memastikan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau turut memaklumkan pihaknya meminta Majlis Perbandaran Tawau mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya (JKR) memandangkan lokasi kejadian terletak di rizab jalan.
Katanya, laporan lengkap hasil perbincangan itu penting bagi menentukan tindakan susulan demi memastikan pengurusan kawasan lebih teratur dan selamat kepada peniaga serta masyarakat setempat.
