KOTA KINABALU: Seramai 60 penasihat, ahli majlis dan ahli Dewan Perdaganan Malaysia- China (MCCC) Sabah meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dalam suasana penuh mesra dan harmoni, baru-baru ini.
Ahli Majlis baharu Jawatankuasa Usahawan Wanita (WEC), Victoria Su berkata, majlis tersebut menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim selain memperkukuh jaringan perniagaan dalam kalangan ahli.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu mencerminkan semangat perpaduan, sokongan bersama dan perkongsian sumber yang menjadi teras utama dewan berkenaan.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan sebagai ahli majlis WEC yang baharu dilantik dan komited untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti usahawan, khususnya wanita,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau atas keyakinan serta bimbingan yang diberikan sehingga memastikan majlis berjalan lancar.
Dalam majlis sama, Dexter turut menyampaikan angpau kepada para hadirin sebagai simbol keberkatan dan kemakmuran sempena perayaan berkenaan.
Sementara itu, MCCC Sabah dijadualkan menganjurkan Majlis Makan Malam Tahunan bertemakan ‘Timeless Elegance’ pada 25 April depan bagi terus memperkukuh jaringan strategik komuniti perniagaan di negeri ini.
