LAHAD DATU: Seramai tujuh individu mengalami kecederaan ringan dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Segama menghala ke Sandakan, di sini, pada Ahad.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datudigerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Roger Eging Garuda berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah Perodua Aruz dan Toyota Hilux yang bertembung.
“Terdapat tujuh mangsa terlibat dan kesemua mangsa telah berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Semua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa terdiri daripada empat individu dari Perodua Aruz iaitu seorang lelaki dewasa (selamat), seorang wanita dewasa (cedera ringan), seorang kanak-kanak lelaki (cedera ringan) dan seorang kanak-kanak perempuan (cedera ringan).
Manakala tiga lagi mangsa dari Toyota Hilux melibatkan seorang lelaki dewasa (selamat), seorang wanita dewasa (cedera ringan) dan seorang kanak-kanak perempuan (cedera ringan).
Pasukan bomba bertindak memberikan rawatan awal sebelum menghantar kesemua mangsa ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.05 petang selepas keadaan disahkan selamat.
