Lumba Lari Haram Tumpas, Dadah, Ketum Terbongkar

KENINGAU: Polis membanteras satu aktiviti lumba lari di atas jalan raya awam tanpa kebenaran dalam Op Bersepadu yang dijalankan di kawasan Bandar Baru Bataras, lewat malam Sabtu.

Operasi bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi itu dilaksanakan susulan maklumat awam serta risikan berkaitan penganjuran aktiviti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata seramai 36 pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Penguatkuasaan Trafik, Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Cawangan Khas serta KDNKA terlibat dalam operasi tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati acara itu dihadiri remaja dan belia.

“Polis turut menemukan bahan disyaki dadah jenis methamphetamine serta minuman disyaki air ketum. Seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Dalam operasi sama, 10 lelaki ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Bahagian Trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan selepas pemeriksaan terhadap 130 individu dan 105 kenderaan dijalankan.

Beliau menegaskan, tindakan penguatkuasaan itu bukan bertujuan menghalang aktiviti sukan, sebaliknya bagi memastikan sebarang program dilaksanakan secara sah, terancang dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Jalan raya awam adalah kemudahan bersama dan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu aliran trafik serta membahayakan keselamatan orang awam adalah satu pelanggaran undang-undang,” ujarnya.

Tambah beliau, IPD Keningau komited melaksanakan tugas secara profesional dan berhemah demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.