Bobbey: Selesaikan MA63 secara tuntas sebelum PRU akan datang

KOTA KINABALU: Seorang senator menggesa kerajaan menyelesaikan isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara tuntas sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak terus terpelihara.

Datuk Bobbey Suan berkata, selepas lima tahun isu itu dibangkitkan di Parlimen dan Dewan Negara, sudah tiba masanya keputusan muktamad dicapai selaras semangat Perlembagaan.

“Sebarang perbezaan pandangan berkaitan MA63 hendaklah diselesaikan secara matang melalui rundingan institusi dan saluran perundangan, dengan kerajaan persekutuan bersikap terbuka, profesional serta konstruktif demi perpaduan negara,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara, Khamis lalu.

MA63 merupakan asas pembentukan Malaysia yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam satu Persekutuan.

Mengulas isu petroleum, Bobbey berkata walaupun perkara itu tidak dinyatakan secara spesifik dalam teks MA63, ia tetap berkait dengan kerangka pembahagian kuasa dan hasil antara Persekutuan dan wilayah.

“Sabah dan Sarawak adalah penyumbang utama industri minyak dan gas negara. Apabila isu ini dibangkitkan, ia bukan ancaman kepada Persekutuan tetapi tuntutan berasaskan hak yang wajar dirunding secara matang,” katanya.

Beliau turut merujuk pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berhubung pelaksanaan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, tuntutan itu berlandaskan prinsip keadilan fiskal dan pembangunan saksama ketika Sabah masih berdepan isu bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.

Selain MA63, Bobbey turut menyentuh isu keselamatan digital termasuk penipuan dalam talian dan jenayah siber yang menurutnya semakin membimbangkan.

Katanya, kerajaan perlu memperkukuh undang-undang berkaitan jenayah siber dan mempertimbangkan hukuman lebih tegas terhadap pesalah.

“Keselamatan digital hari ini adalah sebahagian daripada keselamatan negara. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyentuh polemik cadangan pembukaan konsulat India di Sabah yang menurutnya perlu dilihat secara rasional.

Menurutnya, pembukaan konsulat adalah amalan lazim dalam diplomasi antarabangsa bagi memudah cara urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan dan kebajikan warga negara.

Beliau turut mencadangkan agar keperluan pembukaan konsulat Filipina di Sabah dipertimbangkan, mengambil kira jumlah warganegaranya yang ramai di negeri itu.

Bobbey turut menggesa Menteri Luar Negeri menjelaskan rasional dan implikasi pembukaan konsulat berkenaan bagi mengelakkan salah faham.