Mayat Lelaki Ditemui di Sungai Kalansanan, Tiada Unsur jenayah

KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di tepi Sungai Kalansanan, Kampung Kalansanan, Inanam pada pagi hari ini.

Pihak polis menerima laporan dari seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kira-kira jam 10.27 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata pasukan polis segera digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat penemuan mayat lelaki itu di tepi sungai, kira-kira 30 meter dari jalan utama berhampiran Jalan Pintas ke Ujana Kingfisher.

Beliau berkata pemeriksaan awal oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama pasukan forensik IPK Sabah mendapati mayat tiada sebarang kecederaan atau tanda perbuatan jenayah, dan identiti mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat menentukan punca kematian secara rasmi.

Kasim turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis serta diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.