Beliau berkata, perpaduan yang utuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang menjadi identiti Sabah sejak sekian lama.
“Perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Angpau 2026 anjuran Persatuan Chung Fook Tong bersama 10 persatuan Cina lain di Dewan Tun Hamdan, di sini, pada malam tadi.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa komited menyokong program yang mampu memperkukuh perpaduan rakyat, memelihara keharmonian antara kaum serta merancakkan pembangunan sosial dan budaya selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, Pesta Angpau membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat dapat membawa manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau turut berharap rakyat terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam memastikan kestabilan politik dan kelancaran pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
“Saya mahu masyarakat Tionghua terus bersama kerajaan negeri sebagai rakan strategik dalam memacu pembangunan Sabah,” ujarnya.
Tambah beliau, penganjuran pesta berkenaan bukan sahaja menjadi platform memelihara dan meneruskan budaya serta nilai murni masyarakat Tionghua, malah membuka ruang kepada budaya tempatan untuk diketengahkan hingga ke peringkat lebih luas.
“Lebih membanggakan, pesta ini menggalakkan penyertaan masyarakat berbilang kaum, sekali gus mencerminkan identiti Sabah sebagai negeri yang aman, harmoni dan penuh toleransi.
“Inilah kekuatan sebenar kita, kepelbagaian yang diraikan bersama, bukan perbezaan yang memisahkan,” katanya.
