KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, menggesa peniaga di kawasan itu supaya lebih proaktif mendapatkan maklumat dan memanfaatkan bantuan ekonomi yang disediakan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif diperkenalkan di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ2.0) bagi memperkukuh rantaian ekonomi tempatan, termasuk program peningkatan perusahaan kecil dan sederhana (SME-UP) serta pembangunan modal insan.
Menurutnya, peniaga kecil, penjaja dan usahawan perlu mengambil peluang berkenaan bagi meningkatkan daya saing perniagaan masing-masing, selaras dengan agenda kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Kita mahu peniaga di Tanjung Keramat cakna dengan saluran bantuan yang ada dan tidak terlepas peluang untuk memperkasakan perniagaan mereka.
“Di peringkat DUN, kita bertindak sebagai pemudah cara antara masyarakat dan agensi kerajaan, khususnya berkaitan pembiayaan serta sokongan memulakan dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Shah Alfie berkata demikian selepas merasmikan Program Bubur Lambuk Ukhwah Ramadan anjuran Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Kota Kinabalu (KUSIKK) dengan kerjasama Sahabat Blok Petagas di Masjid Al-Mahabah, Kampung Muhibbah, Putatan, di sini semalam.
Turut hadir Pengurus Cawangan Kanan Angkatan Ikrar Malaysia (AIM) Kota Kinabalu, Adzam Supri; Pengerusi KUSIKK, Wan Raizah Matsah; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Keramat, Latip Jiar dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tanjung Keramat, Syed Arizal Karim.
Mengulas program berkenaan, beliau berkata selain mengimarahkan Ramadan, penganjuran aktiviti komuniti seumpama itu boleh menggalakkan penglibatan penduduk serta usahawan setempat di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Katanya, program seumpama itu wajar diteruskan pada masa akan datang, bukan hanya pada bulan Ramadan, bagi memperkenalkan peranan dan inisiatif yang digerakkan pertubuhan berkaitan.
