SANDAKAN: Hujan lebat berterusan yang melanda daerah ini pada Jumaat menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir selain kejadian pokok tumbang dan beberapa jalan utama dinaiki air.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan memaklumkan pihaknya telah menjalankan pemantauan serta tindakan segera di lokasi terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk.
Antara lokasi kejadian pokok tumbang yang dilaporkan ialah di SK St Monica dan sekitar Bandar Sandakan yang telah selesai ditangani.
Bagaimanapun, kejadian pokok tumbang di Taman Mutiara serta kawasan GIATMARA Batu Sapi masih dalam tindakan anggota di lapangan.
Bagi situasi banjir, kawasan terlibat ialah Kampung Pangeran dan Taman Fajar yang kini berada dalam pemantauan serta tindakan lanjut pihak berkuasa.
Selain itu, beberapa jalan dilaporkan dinaiki air antaranya Jalan Batu 7, Taman Nuri, Taman Fajar Lama, Jalan Mahkamah, Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan Petronas Batu 6 serta Jalan Perhutanan.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa terutama ketika melalui kawasan yang dinaiki air atau berisiko ditimpa pokok tumbang.
