Balai Cerap Al-Biruni berpotensi jadi hab pendidikan falak Sabah

PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi rasmi cerapan hilal, malah berpotensi dibangunkan sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan falak yang lebih komprehensif di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kemudahan itu boleh diperkasakan sebagai pusat pendidikan falak dan astronomi Islam, selain menjadi hab penyelidikan berdaya saing dan berteknologi tinggi.

“Balai cerap ini juga boleh dibangunkan sebagai destinasi pelancongan ilmu (astro-tourism) yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Rukyah Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah) Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H/2026M, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu, aspek infrastruktur perlu dipertingkatkan dan memenuhi standard sewajarnya, termasuk penambahbaikan fasiliti cerapan, penyediaan ruang pameran interaktif, dewan pembelajaran, kemudahan pengunjung serta akses lebih mesra pelancong.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata dengan perancangan strategik dan kerjasama pelbagai pihak, balai cerap itu bukan sahaja mampu menjadi kebanggaan umat Islam, malah seluruh rakyat Sabah.

Beliau turut berharap generasi muda melihat bidang falak dan astronomi sebagai ruang yang luas untuk diterokai serta berpotensi menjadi kerjaya yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.

Katanya, majlis berkaitan ibadah umat Islam seperti pelancaran rukyah hilal bukan sahaja mempunyai nilai spiritual, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengurus hal ehwal Islam secara bertanggungjawab, profesional dan berintegriti.