10,000 Meriahkan Rumah Terbuka CNY Sabah 2026

KOTA KINABALU: Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Sabah anjuran kerajaan negeri yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Orang ramai mula membanjiri lokasi majlis seawal jam 9 pagi bagi menghadiri sambutan tahunan peringkat negeri itu yang menjadi platform mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh  Tun Musa Aman yang hadir bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin. Ketibaan beliau kira-kira jam 11 pagi disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sebelum diteruskan dengan persembahan tarian singa yang menceriakan suasana dewan.

Majlis tambah meriah apabila Musa dan Hajiji menyempurnakan gimik perasmian menerusi pukulan gendang, disusuli sorakan dan tepukan gemuruh para tetamu yang hadir.

Turut diadakan acara menggaul yee sang sebagai simbol kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

Sepanjang majlis berlangsung, tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian artis jemputan serta kumpulan tarian, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan.