KOTA KINABALU: Parti Warisan hari ini mempersoalkan keputusan kerajaan negeri untuk menaikkan tarif elektrik, ketika bekalan masih tidak stabil dan kos sara hidup rakyat terus meningkat.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, berkata kenaikan ini bukan sekadar membabitkan bil elektrik isi rumah dan industri.
Katanya, ini juga akan meningkatkan kos operasi perniagaan, menekan harga barangan dan perkhidmatan, serta mengurangkan kuasa perbelanjaan rakyat di seluruh Sabah.
“Apabila perkhidmatan asas gagal berfungsi dengan baik, rakyat tidak seharusnya diminta membayar lebih,” katanya dalam satu kenyataan.
Shafie menegaskan persoalan utama ialah sama ada kerajaan telah menangani punca masalah dalam sistem bekalan elektrik sebelum memindahkan beban kos kepada pengguna.
“Sabah sangat bergantung kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), dengan banyak perjanjian dimeterai bertahun-tahun lalu yang kini wajar disemak semula bagi memastikan rakyat tidak menanggung kos yang lebih tinggi daripada sepatutnya,” katanya.
Warisan menggesa kerajaan negeri menjelaskan asas pengiraan tarif baharu secara telus, menyemak perjanjian IPP serta meningkatkan kecekapan dan pengurusan dalam Sabah Electricity.
“Elektrik adalah keperluan asas. Rakyat Sabah tidak seharusnya dipaksa membayar lebih selagi masalah bekalan masih berlarutan,” tegas Shafie.
