KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan sendiri walaupun terdapat peruntukan khas berkaitan negeri itu di bawah Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu dijelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Madius meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan sama ada Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan membolehkan Kerajaan Negeri Sabah mengeluarkan kad pengenalan yang tersendiri.
Menurut KDN, peruntukan tersebut tidak memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mengeluarkan kad pengenalan,.
“Ia sebaliknya hanya bertujuan melindungi kuasa imigresen negeri yang telah diberikan melalui undang-undang Persekutuan, khususnya berkaitan kemasukan ke Sabah dan isu kemastautinan.
“KDN menegaskan bahawa peruntukan ini tidak memberi kuasa atau memperluaskan bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah untuk mewujudkan atau mengeluarkan kad pengenalan sendiri,” menurut jawapan bertulis itu.
KDN turut menjelaskan bahawa urusan kewarganegaraan dan pendaftaran penduduk adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan selaras dengan Perkara 14 hingga 15 Perlembagaan Persekutuan serta Jadual Kesembilan, Senarai I.
Menurut kementerian itu, urusan berkenaan dilaksanakan melalui Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Ia memperuntukkan bahawa pendaftaran penduduk dan pengeluaran kad pengenalan adalah tanggungjawab Ketua Pengarah Pendaftaran Negara di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“KDN juga menegaskan bahawa undang-undang sedia ada tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan kad pengenalan atau dokumen identiti yang mempunyai implikasi kewarganegaraan,” kata kementerian itu.
Sehubungan itu, KDN berkata pengeluaran kad pengenalan mesti dilaksanakan secara berpusat oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keseragaman pentadbiran, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara.
