27,000kg Ayam Sejuk Beku Tanpa Permit Dirampas di Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) merampas sebanyak 27,000 kilogram produk ayam sejuk beku bernilai anggaran RM268,410 yang dipercayai dibawa masuk tanpa permit import yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan baru-baru ini.

Operasi hasil risikan itu melibatkan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar, sebelum susulan dibuat di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut, di sini.

DVS Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kerajaan negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti dan keyakinan pengguna.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan hanya produk makanan yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah DVS Sabah, Dr. Zul Bahar, berkata operasi berkenaan dilaksanakan secara terancang dengan kerjasama pelbagai unit di bawah DVS Sabah serta agensi penguat kuasa lain.

“Kerjasama strategik bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan DVS Sabah akan terus komited dalam memperkukuh kawalan keselamatan makanan dan biosekuriti negeri.