PRK Kinabatangan: Calon BN Gesa Pengundi Buat Pilihan Matang

KINABATANGAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Naim Kurniawan Bung Moktar menggesa pengundi agar membuat pilihan secara matang dengan menilai keikhlasan calon yang benar-benar mahu berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata pemilihan wakil rakyat bukan sekadar persaingan politik, sebaliknya melibatkan amanah besar untuk membawa suara serta kepentingan rakyat Kinabatangan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Rakyat perlu menilai siapa yang benar-benar ikhlas berkhidmat dengan setulus hati serta membawa matlamat dan perjuangan yang selari dengan kehendak rakyat Kinabatangan,” katanya.

Menurut beliau, penilaian pengundi perlu dibuat secara rasional dan berhemah, khususnya dalam memastikan kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat di kawasan Parlimen Kinabatangan dapat diteruskan.

Naim Kurniawan turut menyatakan keyakinan bahawa BN akan menerima sokongan padu rakyat serta dukungan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan bagi memudahkan perjalanan parti pada PRK kali ini.

“Insya-Allah, dengan sokongan rakyat dan kerjasama semua pihak, agenda pembangunan serta kebajikan rakyat Kinabatangan dapat diteruskan demi masa depan yang lebih baik,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan pemergian penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang sebelum ini merupakan tokoh politik berpengaruh di Sabah dan telah berkhidmat selama beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dikenang atas sumbangannya dalam memperjuangkan pembangunan serta kebajikan rakyat Kinabatangan, sekali gus menjadikan PRK kali ini penting dalam menentukan kesinambungan kepimpinan dan hala tuju kawasan itu.

PRK ini turut dilihat sebagai antara penentu sentimen politik semasa di Sabah, khususnya melibatkan sokongan rakyat terhadap kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.