KOTA MARUDU: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mengekang cubaan penyelewengan bahan api bersubsidi menerusi satu operasi khas di Bengkoka, awal pagi Rabu.
Operasi itu membawa kepada rampasan kira-kira 13,900 liter petrol daripada sebuah lori tangki serta lebih 81,000 liter bahan api termasuk diesel yang ditemui di atas sebuah kapal.
Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Supt Jaffri Bidin berkata, kegiatan itu dikesan hasil maklumat risikan sebelum pemantauan dilakukan sekitar jam 12.14 tengah malam.
“Siasatan awal mendapati bahan api tersebut dipindahkan tanpa sebarang kelulusan sah. Empat kru kapal diperiksa termasuk tiga warga asing yang tidak memiliki dokumen,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan dan Akta Imigresen 1969, manakala tindakan lanjut diambil bersama agensi berkaitan.
