MENUMBOK – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyeru rakyat Sabah supaya terus memberi kepercayaan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan dengan lebih rancak melalui pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, mandat baharu amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang digariskan dalam Hala Tuju SMJ 2.0 dapat direalisasikan sepenuhnya selepas kejayaan pelaksanaan fasa pertama SMJ 1.0 (2021–2025) yang telah membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.
“Berikan kami mandat baharu dan kami akan terus memperhebatkan pembangunan di bawah SMJ 2.0. Fasa pertama telah menunjukkan hasil positif, namun masih banyak lagi agenda pembangunan yang perlu diteruskan demi masa depan Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis di Menumbok, hari ini.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah termakan dakyah pembangkang yang gemar menabur fitnah serta menuduh kerajaan GRS gagal, sedangkan banyak isu semasa seperti masalah air, elektrik dan jalan raya luar bandar merupakan warisan daripada pentadbiran terdahulu.
“Kalau mereka kata kerajaan GRS gagal, apa yang gagal? Banyak masalah hari ini ditinggalkan oleh mereka dahulu. Ketika menjadi menteri pun, isu rakyat tidak diselesaikan,” tegasnya.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri di bawah GRS berjaya menarik ramai pelabur dalam dan luar negara hasil pendekatan mesra pelabur yang dilaksanakan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Hasil negeri yang meningkat turut dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan tunai RM300 sebulan kepada 100,000 penerima miskin, bantuan kebajikan bulanan kepada 70,000 individu, serta projek Rumah Mesra SMJ untuk keluarga berpendapatan rendah dan pasangan muda.
Dalam majlis sama, Hajiji turut merasmikan Masjid Nur Ihsan Menumbok bernilai RM3.26 juta yang siap pada Mac lalu, selain menyerahkan tiga warta tanah kediaman anak negeri di bawah Seksyen 78 membabitkan Kampung Mansud, Kampung Purun dan Kampung Tanjung Aru.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Pendidikan Limus Jury atas usaha membantu 5,350 pelajar di Kuala Penyu dan Menumbok.
Beliau smenegaskan Pelan Strategik Pembangunan Kuala Penyu-Menumbok 2025–2035 akan menjadi panduan utama bagi memastikan pembangunan seimbang di kawasan itu.
