PUTATAN – Penyediaan kemudahan sekolah yang kondusif dan selesa mampu meningkatkan motivasi guru serta melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dan berdaya saing di daerah Putatan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kemudahan prasarana yang lengkap dan persekitaran pembelajaran yang positif memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan pendidikan di kawasan itu.

“Sejajar dengan hasrat kita memastikan tahap pendidikan di Putatan terus berkembang, penyediaan kemudahan yang kondusif dan selesa amat penting.
“Pihak Parlimen Putatan sentiasa komited membantu sekolah yang memerlukan naik taraf infrastruktur secara inklusif,” katanya selepas melakukan tinjauan di Dataran Serbaguna serta menyempurnakan majlis simbolik penyerahan padang Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shahelmey berharap warga SK Petagas dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan produktif.
“Dengan adanya dataran serbaguna dan padang sekolah ini, saya yakin guru dan murid dapat meningkatkan prestasi akademik serta kokurikulum mereka pada masa hadapan,” katanya.
