KINABATANGAN – Dua mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang wanita warga emas berusia 79 tahun, ditemukan maut selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Kampung Bangkulut, Tongod, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Penolong Pegawai Bomba Hairi Otuh berkata, kejadian sekitar jam 9.46 malam itu, limpahan kepala air dari hulu sungai menyebabkan laluan utama kampung ditenggelami air sebelum kedua-dua mangsa cuba menyeberanginya.
Katanya, arus deras menyebabkan kedua-dua mangsa hilang imbangan lalu dihanyutkan air deras.
“Kita difahamkan kanak-kanak tersebut terlepas daripada genggaman ibunya ketika cuba menyelamatkan diri.
“Mangsa pertama iaitu wanita warga emas ditemukan kira-kira 250 meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hairi berkata, pencarian diteruskan dan kira-kira jam 3.25 pagi, mangsa kedua iaitu kanak-kanak lelaki pula dijumpai pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa pertama.
Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi melibatkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dengan bantuan PDRM serta ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.04 pagi selepas paras air surut.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada serta tidak meredah laluan ditenggelami banjir kerana risiko arus deras boleh meragut nyawa,” jelas Hairi.